lembagapertubuhanpeladangperak.blogspot.com

Perutusan Ketua Pengarah

AMANAT KETUA PENGARAH
LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG
TAHUN 2014
 
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHHIWABARAKATUH
DAN SALAM SEJAHTERA   

Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat-Nya kita sama-sama melangkah ke Tahun Baru 2014 dengan penuh keiltizaman untuk melaksana tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh sebagai peneraju transformasi pertubuhan peladang (PP) dan peladang progresif di negara ini.

Kejayaan program dan aktiviti sesabuah organisasi adalah disebabkan beberapa faktor di antaranya perancangan yang diatur rapi, semangat kerja berpasukan, hubungan yang rapat dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Sepanjang tahun 2013, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Bersempena ulang tahun ke-40 penubuhan LPP, tanggal 25 Februari 2013, tercatat sejarah yang akan dikenang oleh warga kerja LPP dan PP apabila Menara LPP dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke enam. Menara setinggi 10 tingkat yang tersergam indah berlatarbelakangkan Bangunan Parlimen menjadi mercu tanda kemegahan bagi seluruh masyarakat peladang di negara ini.

Sebelum Pilihanraya Umum ke-13 diadakan pada 5 Mei 2013, kita dengan penuh dedikasi berjaya membantu melaksana Program MOA Bersama Rakyat serta menyempurnakan pengagihan bantuan Touch Point berjumlah RM20.8 juta kepada 104,000 ahli-ahli PP diikuti dengan penglibatan aktif dalam menjayakan Perhimpunan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan, Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2013 dan kejayaan menganjurkan The 5th ASEAN Cooperative Business Forum (ACBF). Pelaksanaan program KOR TANI secara zon dan berfasa telah dapat disempurnakan dan fasa seterusnya dilaksana pada tahun 2014. Komitmen warga kerja LPP dalam mengamalkan pengurusan persekitaran berkualiti (Amalan 5S) telah membuahkan hasil apabila pihak Malaysia Productivity Corporation (MPC) memberi pengiktirafan persijilan kepada LPP Ibu Pejabat pada sambutan Hari Inovasi LPP 2013 yang disempurnakan oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.